Travelog Umrah Ramadan 2024

Salam Ramadan Mubarak 1445H dari kota legenda Robin Hood 💚



Sudah terlalu lama hati ini merindui suatu kota yang pernah tinggal didalamnya kekasih Pencipta, memori orang-orang yang kasih akan kekasih Pencipta dan tempat abadi segala makhluk yang menjadi saksi pengorbanan kekasih Pencipta. Satu-satunya cemburu yang pernah hadir dalam diri yang boleh diceritakan dan dibanggakan, iaitu cemburu akan tetamu-tetamu Allah yang dijemput ke rumah agung-Nya, Tanah Suci Mekah. 

Selalu terasa sedih bagaimana caranya untuk dapat kumpulkan wang yang banyak untuk membawa diri ke sana, saya bukanlah dari keluarga yang berada, dan terlalu banyak keutamaan yang perlu diberikan. Bukan mudah untuk merancang perjalanan ke tanah suci, dan syukur umi ayah dan kakak sulung telah mampu menunaikan umrah hampir sedekad yang lalu. Selalu terfikir, mungkin esok-esok setelah bekerjaya beberapa lama barulah mampu untuk saya ke sana.















Setelah menginjak remaja, dan mula mempelajari tentang agama, setiap Ramadan pasti saya ternanti-nantikan rakaman Solat Sunat Tarawih dari Masjidil Haram, mendengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran yang dilontarkan dari mulut qari-qari dan ulama' ulung dunia, menusuk sehingga ke jiwa. Antaranya termasuklah Sheikh Mishary Al-Afasy, Sheikh Sudais, Sheikh Bandar Baleelah, Sheikh Yasser Al-Dossary, Sheikh Maher Al-Muayqali dan ramai lagi Imam terkenal yang sering menjadi Imam jemputan di Masjidil Haram. Sungguh syukur ke hadrat Ilahi, pada Ramadan tahun ini, Allah memberi izin dan menjemput saya untuk menjadi salah seorang makmum kepada imam-imam ini, inshaaAllah.


Dalam masa kurang 2 minggu lagi inshaaAllah saya akan bertolak mengerjakan umrah secara D.I.Y, tanpa agensi, cuma saya dengan seorang sahabat, Aisha. Masih rasa tak percaya Allah hadirkan rezeki ini. Dengan berbekalkan duit simpanan elaun biasiswa yang saya dapat setiap bulan, dan di dalam tubuh seorang dewasa muda yang masih elok kudratnya, tanpa tanggungan lain yang harus difikirkan serta seorang sahabat baik yang sudi tempuhi perjalanan bersama dalam bulan ramadan yang mulia, dan paling penting dengan izin, restu dan redha umi ayah; inilah waktu terbaik yang Allah takdirkan untuk kami menjadi tetamuNya. 


Dalam travelog ini, saya berhasrat untuk nukilkan dan simpan memori perjalanan umrah Ramadan ini. Dan mungkin juga boleh menjadi panduan untuk pembaca-pembaca yang sedang bercita-cita untuk melaksanakan Umrah D.I.Y. 

Awalnya kami mendaftar diri dengan sebuah 'travel agency' yang 'based in' Jordan. Agensi ini sangat terkenal dan dipercayai oleh pelajar-pelajar Malaysia di Jordan kerana kerap mengadakan trip umrah untuk para pelajar di sana. Akhir tahun 2023, mereka membuka trip Umrah 10 Akhir Ramadan dengan yuran sebanyak 550JOD (MYR3600) sahaja, dan kebetulan cuti musim bunga juga akan bermula di akhir Ramadan. jadi saya dan sahabat pun teramatlah syukur dapat sign up dan sertai mereka. TA itu akan uruskan pengangkutan bas dari Jordan sehingga ke Makkah. Jadi kami dah beli siap-siap tiket flight pergi balik dari London > Milan > Amman (transit di Milan). Namun Allah lebih mengathui hikmahnya, TA tersebut tiba-tiba membatalkan trip umrah Ramadan mereka 3 minggu sebelum berangkat dengan alasan masalah harga penginapan di Madinah yang terlalu mahal di musim ini. Pihak TA akan pulang semula semua bayaran yang kami dah buat dalam masa beberapa hari.

 Selepas episod kecewa sebentar, saya anggap inilah ujian Allah untuk uji persediaan kami, menguji kekuatan semangat kami. Dan sahabat saya pun sangat-sangat optimis dan kami decide untuk teruskan umrah secara DIY tanpa agensi. Dengan bantuan saudara terdekat sahabat saya, dan juga kawan-kawan dan kenalan, kami mula mengatur sendiri perjalanan, apply visa, cari penginapan, dan alhamdulillah setakat ini semua berjalan lancar. Malah kami dapat save banyak. Saya juga masuk Facebook group Umrah Bagpackers / DIY untuk dapatkan info-info dan tips daripada orang lain. Sungguh, hikmah bila berubah plan ini ialah, jiwa ini semakin tunduk dan semakin berharap kepada Allah untuk dimudahkan semua urusan dan dijemput ke rumahNya. Saya juga sekarang lebih banyak melakukan persiapan mental, rohani dan fizikal, sebabnya tak  boleh lagi bergantung pada sesiapa, tidak lagi bergantung kepada agensi atau mutawwif. Alhamdulillah. 

InshaaAllah kami akan bertolak ke Jordan 27 Mac 2024, dan akan berada di sana selama 3 hari menjalani ibadah puasa sambil berziarah, dan kemudian pada 30 Mac 2024 kami akan berangkat ke Madinah dengan 'overnight bus'  yang tempohnya lebih kurang 20 jam perjalanan dari Irbid. Pada 2 April 2024 bersamaan malam ke-23 Ramadan, barulah kami akan berangkat ke Tanah Suci Makkah dan menetap disana selama 11 malam.

 Semoga sepanjang perjalanan di bumi Anbiya' ini, Allah hadirkan insan-insan mulia dan baik hati yang dapat memudahkan urusan kami, dan jauhi segala mudarat dan keburukan dari sekeliling kami.

InshaaAllah saya akan tambah nukilan memori disini sedikit demi sedikit sepanjang perjalanan.
Doakan kami :)

Bajet RM4500 (Perjalanan 19 Malam)

- RM1000 tiket flight pergi balik dari London > Milan > Amman
- RM650 visa tourist Saudi (untuk buat umrah pun boleh)
- RM1500 penginapan di Jordan, Madinah, Makkah
- RM500 transport (bas jordan, kereta sewa jordan, bullet train madinah, bas ke masjidil haram, uber)
- RM900 cash utk lain2 (tukar ke riyal)

Rough Itinerary Umrah DIY Ramadan 2024

27/3, 7 pagi: flight dari Stansted Airport, London UK ke Queen Alia Airport, Irbid Jordan.
Transit di Milan,Itali. Sampai Jordan 9 malam

🌙 Jordan
27/3 di Amman: hotel RM96 
28-29/3 di Irbid: tumpang rumah kawan 

30/3: bertolak dari irbid ke madinah. Overnight bus 20 jam.
*cari geng jemaah perempuan dari Jordan klu ada yg nak follow sekali. Abang aisha kemungkinan akan join 5 april (tak sure)

🌙 Madinah
31/3-1/4: Homestay Darul Hana RM 175 (2 malam)

2/4 bertolak ke Makkah dengan bullet train


🌙 Makkah
2/4-9/4: Homestay Duyufurrahman RM787 (7 malam)

*9/4 aisha perlu balik UK lebih awal sebab aisha akan ada exam the next week
*zunnur akan stay lagi sampai 13/4 dgn kawan2 yg DIY umrah dari Jordan

10/4-13/4: TBC mungkin zunnur akan sambung di homestay yg sama

*13/4 bertolak balik ke Jordan. Sampai 14/4. Tidur di Amman. Mungkin tumpang rumah kawan/hotel.

15/4: zunnur flight balik ke UK. Transit di Milan dulu





~ bersambung kemudian....



~ Hidup untuk berbakti, Bukan sekadar menikmati~

Comments